SHAH ALAM - DAP terus mendahului di empat kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, berdasarkan keputusan kiraan semasa tidak rasmi setakat jam 7.30 malam.
Keputusan itu berdasarkan Keputusan Tidak rasmi PRN Melaka 2026 Untuk Calon DAP di laman sesawang melaka2026.dapmalaysia.org.
Di Ayer Keroh, Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan 6,906 undi atau 61 peratus daripada keseluruhan 11,606 kertas undi yang dikeluarkan.
Perikatan Nasional (PN) memperoleh 3,411 undi (30 peratus), manakala Bersama meraih 778 undi (tujuh peratus) dan Bersatu sebanyak 366 undi (empat peratus).
Di Kesidang, PH turut mencatat kelebihan dengan memperoleh 6,369 undi atau 64 peratus daripada 10,035 kertas undi dikeluarkan.
PN berada di kedudukan kedua dengan 3,090 undi (31 peratus), manakala Bersama memperoleh 509 undi (enam peratus).
Sementara itu, di Kota Laksamana, PH mencatat sokongan lebih tinggi dengan 5,918 undi atau 75 peratus daripada 8,083 kertas undi dikeluarkan.
Barisan Nasional (BN) memperoleh 1,456 undi (19 peratus), manakala Bersama meraih 600 undi (lapan peratus).
Di Bandar Hilir pula, PH mendahului dengan 5,587 undi atau 74 peratus daripada 7,587 kertas undi dikeluarkan.
BN memperoleh 1,202 undi (16 peratus), manakala Bersama mencatat 786 undi (11 peratus).
Keputusan tidak rasmi itu menunjukkan PH mendahului di keempat-empat kerusi berkenaan, sekali gus memperlihatkan penguasaan awal parti itu di kawasan yang menjadi kubu kuat DAP pada PRN Melaka lalu.